Laga Pemimpin Laga.............
ahu bercerita tentang 'Kem Resolusi Intelektual Muslim'. Tidak begitu unik sebenarnya program ini daripada aspek pengisiannya. Diskusi dalam kumpulan tentang penyakit umat - sekularisme, kejumudan dan kecacamarbaan beragama. Permainan-permainan yang seperti biasa diperkaya dengan 'nilai-nilai moral di sebalik'nya. Solat berjemaah setiap waktu. Kuliah Subuh (waktu setan menggayuti kelopak mata) dan kuliah Maghrib. BBQ. Mandi sungai. Melalui pengisian yang ringkas-ringkas inilah nilai-nilai persaudaraan dan intelektualisme Islam, semangat untuk berbakti atas nama Islam cuba disemaikan, insyaAllah berjaya kalaupun tidak sepenuhnya.
Satu yang 'menarik' dalam kem ini, yang menjadikannya berbaloi untuk diceritakan adalah peristiwa 'gimik' yang berlaku. Dua tunggak utama program tiba-tiba bertelagah sewaktu 'night walking' kononnya hendak dimulakan. Kedua-duanya saling meninggikan suara dan menghilangkan diri dalam gelap malam. Kerana konflik autoriti, siapa yang lebih berkuasa. Di tengah-tengah rimba rekreasi Sungai Congkak. Dan ketika itu ternampaklah pelbagai reaksi.
Orang lelaki - muslimin - ada yang membuka kelab bual di dewan makan, membuat pelbagai spekulasi tentang aneka ragam 'masalah dalaman' yang mungkin berlaku. Melemparkan kritikan demi kritikan kerana apabila berlaku kepincangan manusia cenderung mencari sasaran untuk jari ditudingkan. Ada yang memulakan operasi mencari kedua-dua sahabat yang hilang.
Orang perempuan - muslimat - ada yang sibuk menekan-nekan telefon tangan, bermesej dan bertelefon sana sini cuba memahami apa sebenarnya yang berlaku. Ada yang tidak keluar mencari - masakan perempuan meredah hutan mencari lelaki yang hilang di tengah malam - tetapi tercangak menunggu terkebil-kebil sehingga tengah malam menjadi dinihari. Ada yang berkumpul bergosip, sementelahan ada teman yang membawa pulang cerita hangat yang didengar daripada kumpulan lelaki.
Dan satu golongan lagi, ada yang lelaki dan ada juga perempuan, adalah kelompok yang tidak mempedulikan apa yang berlaku. Apabila program batal kerana kedua-dua 'bos besar' sudah putus wayar, mereka ambil jalan mudah, balik dan tidur. Apa nak jadi, jadilah. Bukan urusan aku.
Salah seorang yang bertengkar malam itu - namakan dia X - adalah sahabat yang terlalu rapat dengan saya. Yang saya kenal hati budinya dan sudah banyak melalui pahit manis bersama dalam dunia kepimpinan pelajar. Yang seorang lagi - namakan dia Y - pula adalah orang yang sering bergeseran dengan saya, sehingga saya menanggapi perhubungan dengannya sebagai 'tidak lebih daripada kerana urusan' dan perasaan saya terhadapnya kosong daripada kehangatan persahabatan. Awas, Y bukan bekas teman lelaki saya atau orang yang menolak cinta saya. Fikiran orang kadang-kadang cepat saja melompat. Tidak hairanlah kalau saya terus menyebelahi X dan menganggap Y adalah punca segala-galanya. Apatah lagi konflik autoriti yang hampir sama pernah berlaku antara saya dan Y sedikit masa dahulu, dengan kesan yang bukan sedikit.
Saya bukanlah antara orang-orang penting dalam penganjuran program. Bukan salah seorang daripada majlis nuqaba' yang menjadi jawatankuasa. Maka malam itu tatkala 'mereka yang penting' berbincang sesama mereka, berkerut-kerut dahi, keluar di tengah malam seolah-olah ada 'rancangan sulit' untuk menyelesaikan 'masalah dalaman' itu, saya terbaring di atas katil terkebil-kebil. Gagal melelapkan mata kerana kerisauan - lebih risaukan X sebenarnya - dan kerana berasa lumpuh. Tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak layak. Saya siapa? Hanya peserta biasa-biasa. Apa istimewanya saya untuk melebihi orang lain, untuk mengikut 'orang-orang penting' melaksanakan 'misi' mereka? Apa hak saya untuk masuk campur? Dan sifat semulajadi saya yang sukar membiarkan sesuatu berlaku tanpa cuba menyumbangkan apa-apa atau setidak-tidaknya mengambil tahu menyebabkan hati semakin mendongkol. Katil saya di sebelah pintu, siapa saja yang keluar masuk saya akan perasan. Saya berpura-pura tidur, memasang telinga apabila siapa sahaja masuk membawa cerita.
Mengapa saya tidak menghubungi X? Kata rapat sangat? Hmm, saya gerun sebenarnya. Mengenali X yang barannya bukan calang-calang andai benar-benar tercabar, saya takut disembur jika berani-berani 'mengganggu' ketika ini.
Sudahnya, esoknya sewaktu hampir majlis penutup bocorlah rahsia bahawa itu semua adalah gimik. Lakonan semata-mata. Tak perlulah dihuraikan perasaan saya ketika itu kerana ia kurang berkaitan dengan moral cerita yang hendak disampaikan ini.
Saya tertarik untuk memetik pertelagahan pemimpin yang dilakonkan itu sebagai refleksi kepada percakaran sebenar dalam dunia nyata dengan skala yang lebih besar. Betapa banyaknya pemimpin yang telah berbalahan, yang selalunya walau apa wajahpun diberi kepada hujah masing-masing, intinya adalah satu konsep : kuasa. Ada ketikanya pertikaian itu tidak meleweh kepada anak-anak buah yang mungkin tidak tahu pun akan masalah yang berlaku. Mungkin tahu tetapi tidak nampak. Mungkin nampak tetapi tidak terasa impaknya. Kerana pemimpin tidak gopoh dan anak buah tidak menyendukkan nasi tambah.
Apabila pecah percanggahan di hadapan anak buah sehingga saling mempersalahkan dan berkerat rotan berpatah arang, maka di sinilah titik mulanya segala masalah sebenar. Akan ada yang menunjukkan tanggungjawab dan berusaha membantu sedaya mungkin. Ada yang tidak ambil kisah. Ada yang hanya berminat untuk mengambil tahu atas dasar 'berita sensasi'. Ada yang mengambil keputusan untuk taking sides - memilih salah satu untuk menyokong kerana sentimen peribadi atau sebab-sebab lain.
Antara kelompok-kelompok ini, siapakah yang paling bersalah? Siapakah pengikut yang paling keji lagi tidak beretika? Ya, yang salah tetap salah. Namun secara kasarnya, sebenarnya masing-masing hanya 'memainkan peranan' memenuhi 'ramalan' tentang apa yang sepatutnya berlaku jika pemimpin tiba-tiba buat hal. Salahkan pemimpin dahulu sebelum menyalahkan anak buah yang 'emosional, tidak setia, tidak prihatin, materialistik'. Kerana logiknya apa perlunya pemimpin yang hebat jika anak buah sudah sempurna sifat?
Dan apabila pemimpin terlalu sibuk bergaduh sehingga tidak sempat menguruskan hal-hal pengikut, sedangkan hal-hal pengikut perlu diuruskan, mahu tidak mahu, melalui proses semulajadi akan naiklah pemimpin yang baru. Lantikan secara 'bidan terjun' atau 'menangguk di air keruh' - bergantung kepada situasi dan personaliti yang terlibat - mungkin akan mendatangkan sense of order dalam jangka masa pendek tetapi disastrous dalam jangka masa panjang. Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahli ... (sambung sendiri)
Kaitkanlah sendiri situasi ini dengan cacamarba politik negara, negeri, universiti, kolej, hatta kampung orang asli sekalipun. Boleh berlaku di mana-mana dalam pelbagai wajah, namun generalisasi boleh dibuat untuk mencari kesamaan.
Menjadi pemimpin bukan sekadar memimpin pengikut, menjadi pemimpin juga termasuklah memimpin diri sendiri agar tidak terlalu ghairah untuk memimpin sehingga lupa akan kesan yang lebih besar kepada pimpinan. Pengikut berhak mengetahui kesilapan yang dilakukan, yang menuntut pembetulan, tetapi bukan untuk diheret supaya memihak kepada Pemimpin A atau Pemimpin B. Kesetiaan anak buah (dan juga pemimpin)sepatutnya lebih kepada organisasi, bukan mengutamakan Pemimpin A atau Pemimpin B hingga mengesampingkan organisasi.Dan ini, memerlukan kematangan daripada Pemimpin A dan Pemimpin B, lebih mustahak daripada menuntut kematangan daripada anak buah. Jika anak buah lebih matang daripada pemimpin, logiknya apa perlunya si pemimpin kekal di takhta pemimpin?
Tengok keadaan juga, kalau organisasi itu yang sudah rosak dan korup, pandai-pandailah anak buah membuat perhitungan...
Kadang-kadang juga, ada suara-suara kecil yang ingin memberikan sumbangan kepada negara. Yang ingin mengambil tahu mengikut kadarnya. Tetapi tidak diberikan peluang - mungkin kerana status sosial, ideologi politik, dan lain-lain. Memang tidak semua pengikut boleh terlibat dalam penyelesaian masalah dan perangkaan keputusan kerana atas sebab itulah pemimpin dan jawatankuasanya dilantik. Tetapi berpada-padalah. Jangan perlekehkan suara-suara kecil ini kerana ia mungkin boleh menjadi besar. Beri peluang, dorongan dan pengiktirafan sewajarnya. Jangan sampai suara-suara kecil ini mencari saluran lain yang sudi memberikan ruang - media alternatif, ajaran sesat, 'penjilat' politik, proksian Yahudi, apa-apa saja - saluran yang mungkin menjadikan sumbangan asal bertukar sumbang. Mungkin sumbang pada mata-mata tertentu sahaja, mungkin benar-benar sumbang. Ketika itu kita akan lihat 'mereka yang penting' sibuk mempersalahkan dan mempersalahkan. Bukan mengakui kesalahan.
*Adibah Abdullah merupakan salah seorang penulis jemputan iLuvislam. Kini menuntut di University of Manchester dalam bidang perubatan.
your friends,
Ameer Azizi.....
0 comments:
Post a Comment